Pensel yang ku letakkan di atas meja telah diambil oleh Agang anak buahku. Aku sengaja membiarkannya berbuat begitu. Sungguh berani dia memanjat kerusi yang tinggi itu untuk mencapainya. Umurnya baru sahaja mencecah 2 tahun tetapi semangatnya lebih tinggi dari orang dewasa. Sudah beberapa kali dia tersungkur, tetapi tak pernah putus asa. Hah, terasa lucu pula bila dikenangkan mengenai perkara itu. Remaja kini semakin lemah dan cepat putus asa. Terkena bencana sedikit sudah tak mahu lagi mencuba. Remaja seperti lupa yang dia dahulu seorang yang gagah dan kuat. Semangat yang berkobar-kobar dalam diri mereka tidak boleh dilawan. Mana perginya semangat ingin mencuba itu? Adakah mereka berubah mengikut keadaan. Adakah kerana fizikal yang semakin membesar membuatkan mereka tidak dapat menampung lagi beban yang berat. Tiba-tiba kedengaran suara ibu saudaraku dari dapur memanggil-manggil Agang. “Agang! Agang! Mana kau nak?” laung ibu saudaraku. “Di sini Bu, Agang ada di sini.” Sahut ku...