Langkau ke kandungan utama

Ajari Aku Tentang Seni



 Aku tidak tahu. Semuanya. Tolong ajari aku. Pertama, seni itu halus. Di mana halusnya seni? Sedang aku lihat ramainya orang berkata lancang dalam karya sastera,  dikata jumud jika tulis dalam bahasa indah serta murni. Banyak juga pelukis terkenal, melukis lukisan tidak elok. Ramai juga penyanyi lagu-lagu kasar lebih diingati dari lagu melankolik yang cepat dilupakan. Jadi, seni itu haluskah?

 

Kedua, seni itu indah. Kebanyakannya ya. Tapi, konlflikku di sini apabila sains dan seni itu jauh. Jadi, jika seorang arkitek membina tama bunga tidak boleh dipanggil senikah? Tidak indah kah? Atau kalau seorang saintis pergi ke bulan memandang Bumi itu tidak indah kah? Tidak senikah? Jadi, ajari aku bagaimana mahu membezakan keindahan dalam seni dan sains itu.
Aku sendiri tidak tahu apa itu seni. Bagaimana aku boleh mengatakan yang aku ini adalah seniman, karyawan, penulis, pelukis, aktivis. Aku bukan seniman. Tapi aku suka kepada seni.
Salahkah? Tentu tidakkan. Mencintai seni itu sesuatu kepuasan bagiku. Mencintai seni itu membawa aku kepada erti ketuhanan dan kemanusiaan. Kehidupan dan kematian. Kejujuran dan pembohongan. Melalui seni, aku dapat menapis semua maklumat yang sampai. Tidak, bukan seni sastera yang aku maksudkan. Bukan seni sains yang aku maksudkan. Tapi, seni yang berada dalam kepalaku ini. Kefahamanku terhadap seni selama ini. Kau takkan mampu mengubah persepsiku terhadap seni. Sebab, aku tidak pernah dapat meluahkannya. Bagaimana kau bisa mengetahui apa yang didiami dalam mindaku. Apa saja tanggapan terhadap seni ini, biar aku simpan. Tidak perlu rasanya aku memberitahunya.
Ajari aku bagaimana harus aku meniti ke dalam dunia seni kamu. Ya ini yang aku maksudkan. Tuntunlah aku ke dalam dunia senimu. Biarlah kita berdua di dalam sana. Berbincang dan melihat sedalam-dalamnya. Ini bahaya jika dibuka kepada khalayak. Pasti berlaku pergaduhan. Terang-terang, persepsi semua orang itu tidak sama. Jadi, mari perlahan-lahan aku cuba meniti dunia senimu. Melalui jambatan karya, tulisan dan lukisan, apa juga bentuknya. Lihatkan aku senimu itu biar kita bertukar-tukar pendapat dalam aman.
Apa  yang pasti bagiku, mencintai seni itu lsama seperti mencintai kedamaian. Ketenangan. Tidak berlaku kekacauan. Tidak berlaku pertumpahan darah. Tiada bunyi bertelingkah. Sama semuanya. Aku cuma mahu tersenyum selepas membaca karya seni. Aku cuma mahu memahami dan menghayati sanubarimu. Aku cuma ingin melihat keresahan dalam jiwamu. Aku cuma sekadar memerhati bukan datang menasihati. Berniat, maksudnya sebolehnya mahu memberi ingat. Itu sahaja. Tiada dalam hati ini ingin menjadi superior. Cuma sekadar mahu menikmatinya dengan secawan kopi. Dalam dunia seniku terdapat gian. Tidak ingin terlepas masa untuk meniti setiap minit untuk ditelusuri maknanya. Ingin setiap minit yang terluang dihabiskan melelahkan mata di atas lautan putih aksara. Jiwa akan memberontak jika ada masa yang terluang habis begitu sahaja. Aku menganggap ini seni. Seni itu mesti ada pen dan kertas. Mesti ada komunikasi. Mesti ada cerita. Plot dan klimaks. Penyelesaiannya. Peleraiannya. Seni itu asalnya berbentuk tidak berbentuk. Terpulanglah kepada orang yang membentuk itu menzahirkannya. Biarkan aku menikmatinya. Maksudnya, biarkan audiens menilainya.
Pernah Abang Neldy berkata padaku. “Cari diri di dalam karya itu sendiri”. Maksudnya, jika kita menulis jangan pula membuat-buat indentiti. Tetapi tulislah dulu, kemudian biarkan kita (iaitu audiens) mencari di dalamnya.
Begitu juga yang aku katakan kepada Adi, kalau menulis jangan jadi pengkritik. Jadi penulis kerjanya menulis. Jadi pengkritik kerjanya mengkritik. Cuba bayangkan, takkanlah semasa menulis karya kreatif contohnya cerpen (Adi menulis cerpen) kena rujuk buku teori pula. Bagaimana nanti hasilnya. Tentu nampak ditampal-tampal. Lainlah kalau pengkritik, dia kena rujuk teori supaya audiens mudah memahami. Itu, untuk memahami penulisan orang juga kena ada rujukan. Sebab, kita pembaca atau audiens mudah terjerumus jadi pengkritik. Tapi, ingat kritik tanpa saran itu adalah kutukan lahir dari emosi. Kritik kena ada saranan. Kemudian, penulis pula janganlah mudah down apabila dikritik. Kritikan itu satu pendapat sahaja. Kalau setuju terima, tak setuju jangan terima. Hasilkan lagi karya untuk melawan kritikan itu tadi. Biar hujah dibalas hujah. Jangan mudah putus kecewa.
Tidak mudah juga sebenarnya dalam dunia seni ini. Manusia sentiasa berubah. Method dalam seni juga sentiasa berubah. Semuanya bersifat dinamis. Tiada suatu ketentuan jelas di dalamnya. Mungkin sebab inilah juga sastera ada tokohnya. Sasterawan Negara. Kalau saintis ada tak Tokoh saintis Negara? Ajari aku. Matematik boleh dikira. Sains boleh dikaji, Sejarah boleh dikorek, tapi seni? Sekali lagi aku bertanya apa itu seni?
Bolehkah aku bertanya, siapa pula pemilik seni? Bolehkah dikatakan sebuah puisi yang bertulis nama itu pemilik kepada kata-kata yang ditulisnya. Bukan kan. Itu nama penulis. Bukan nama pemilik. Siapalah pemilik? Masyarakat? itu terlalu umum. Inikan pernah dipolemikkan oleh Shanon dan Kasim. Satu kata seni untuk seni, dan satu kata seni untuk masyarakat. Dua-dua aku tidak bersetujulah. Seni dan semua yang ada ini bukan milik siapa-siapa. Sebab kalau dia memilikinya tentu dia tidak mati. Tentu dia tidak akan habis. Seni itu bukanlah milik siapa-siapa. Tetapi, sesiapa saja di seluruh dunia ini boleh menikmatinya. Seni itu satu benda yang boleh dinikmati. Sebab itulah itu sifatnya dinamik. Aku nak nasihatkan, jika ada teori yang kamu baca jangan terima. Tolak dulu kemudian kaji dan terima atau tidak. Tidak semua apa yang dikatakan orang sebelum ini itu boleh diterima. Tentu ada salahnya. Tapi kalau kita bersikap menerima, tentu tidak nampak kesalahan dimana-mana. Sayanglah. Sebabnya jika begitu, nikmat seni itu tidak akan dirasai. Anggap seni itu sebagai barang belum siap. Atau raw material. Kemudian dibentuk, dibuka, dipecah, dikorek dan dirasai. Barulah seni itu akan terasa. Ini kalau main ambil saja, mau rasa apa lagi?
Apa yang aku bersetuju dalam seni adalah sifatnya yang dinamik. Sentiasa berubah-rubah. Kalaulah dunia seni ini statik, rasanya ramai orang gila. Sebab tiada kelainan dan sama sahaja coraknya. Takkanlah semua baju di dunia ini semua sama warna dan stailnya? 
Ketinggian nilai seni pula. Bagi aku ketinggiannya terletak seberapa pelik dan barunya karya, yang dirasakan oleh penikmatnya. Kemudian, penikmat itu akan cuba mempengaruhi penikmat-penikmat seni yang lain. Jika ramai yang bersetuju, maka berlaku demand di sana. 
::tulislah gelisah pada takdir indah::
Kerana kegelisahan hidup itu
berdiri di seberang ketenangan dan kedamaian
yang disimpan oleh kerinduan dalam diri sendiri.
Merasa gelisah selalu, dalam mencari takdir damai
kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu
amat banyak tak terbilang
kesulitan perjalanan hidup saban minit,
kian baru.

Merasa senanglah selalu!
Merasa tenteramlah!
atas takdir kegelisahan::

Cegu Don
28 Mei 2016
6.30pm

Ada juga yang mengatakan seni itu adalah keresahan. Jadi, adakah ketinggiannya diukur atas berapa keresahan yang ada? Semakin resah gelisah semakin nilai estetikanya? Aku juga tidak berapa setuju. Sebab, keresahan ini adalah salah satu faktor tolakan seseorang untuk bekarya. Tujuannya untuk meditasi. Untuk terapi diri. Merawat duka. Merawat kesediha yang melanda dalam jiwa. Melalui penzahiran kegelisahan ini jiwa merasa tenang dan aman. Terasa ringan, hilang semua masalah. Cuma, janganlah pula kamu cuba menggelisah-gelisahkan hati. Meresah-resahkan hati. Nanti kalau buat begitu sekdar untuk bekarya, karya itu tidak akan jujur lagi. Biarlah resah itu datang dan tunggu. Biarkan ia menyelubungi dan mempengaruhi kesedaran seni kita menjadikan kita karyawan. Jangan dibuat-buat. Jangan berpura-pura resah.
Seni itu adalah jiwa. Jiwa itu adalah diri yang sendiri. Diri adalah makhluk dan makhluk adalah yang menciptaNya. Akhirnya dunia seni itu milik Pencipta. Jika seni itu membawa kepada bukan pencipta, itu seni menyimpang. Ajari lagi aku tentang seni!

(^_^)

Berbahagialah Dengan Suasana

Catatan popular daripada blog ini

Sumandak!

Salam Blogger dan Salam Pembaca... Hari ini saya mau cerita sikit mengenai SUMANDAK... Sumandak adalah bahasa dusun di Sabah yang bermaksud perempuan. (yang saya tau lah) Namun, kebiasaannya Sabahan merujuk sumandak itu ialah "gadis dusun cantik" Ya, saya setuju itu. Atukoi... Sumandak di Sabah semua cantik-cantik. Bukan setakat cantik dari paras rupa, malah budi bahasa mereka yang sopan santun dan peramah menyokong lagi kekuatan maksud bagi perkataan "cantik" tersebut. Kebanyakan orang-orang dusun memang peramah kerana sudah menjadi adat dan kebiasaan mereka semenjak kecil lagi dalam komuniti mereka. Hal ini telah menyebabkan ramai individu bukan sahaja dari Sabah malah seluruh Malaysia terpikat dengan kecantikan mereka ini. Mempunyai paras rupa yang putih melepak dan sentiasa melemparkan senyuman menambah lagi perasaan cinta terhadap mereka. Seperti juga gelaran "Perempuan Melayu Terakhir" yang popular dalam kalangan orang Melayu, di Sabah ta...

7 Perkara Penting Dalam Business Pitching

source: http://pas-wordpress-media.s3.amazonaws.com/content/uploads/2015/09/PitchDeckTemplate-header.png 1) Masalah Nyatakan masalah yang bisnes anda akan selesaikan. 2) Bukti Kajian Tunjukkan bukti kajian satu persatu dan meyakinkan. 3) Pelanggan Terangkan target pelanggan anda kepada pelabur. 4) Model Bisnes Bukan Modal ya. Model. Maksudnya struktur bisnes anda. Dipanggil juga Business Model Canvas. 5) Choose Me Yakinkan pelabur untuk melabur dengan anda bukan orang lain 6) Starting Beritahu bila bisnes ini boleh start. 7) Kelayakan Tunjukkan kelayakan anda sebagai CEO dan yakinkan andalah yang paling layak.

Tarian Adai-Adai

Penghargaan Syukur ke hadrat ilahi dengan limpah kurnianya memberikan kekuatan dan keyakinan dalam menghasilkan kerja kursus yang pertama ini buat hambanya yang super lemah dan serba serbi kekurangan.Dalam menghasilkan sesuatu kerja kursus ianya suatu proses yang memakan masa lama untuk membaca dan memahami serta menghayati setiap naskhah buku,laman web jurnal atau petikan-petikan ensiklopedia.Justeru dengan rezeki yang diberikan oleh tuhan iaitu kesihatan tubuh badan faktor utama kejayaan penghasilan kajian ini.Tidak dilupakan kepada Puan Sri Ningsih yang banyak memberi tunjuk ajar dan ruang masa kepada para pelajarnya dengan penuh dedikasi dan tauliah.Semoga tuhan akan memberikan kesihatan dan rezeki yang berlimpah ruah kepada puan.Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada rakan-rakan yang membantu dalam penghasilan kajian ini.Terima kasih semua. Setiap semester pelajar-pelajar tahun 1 Seni Kreatif (HA11) akan membuat kerja kursus di bawah kod kursus CA10103 Sejarah Tari yang di...